Bahasa Bertulis Cina

Bahasa bertulis Cina adalah berbeza dan ganjil seandainya dibandingkan dengan bahasa bertulis bangsa-bangsa lain di jagat buana ini. Bahasa bertulis seperti bahasa Arab, bahasa Jawa, bahasa-bahasa Eropah dan bahasa-bahasa India semuanya menggunakan bentuk ejaan. Yakni menggunakan cantuman-cantuman huruf untuk setiap satu perkataan. Namun, dalam bahasa bertulis Cina, halnya berbeza pula. Ia menggunakan huruf pengenal untuk satu-satu benda atau perkataan. Bahasa tulis pengenal ini tidak akan dilupakan buat selama-lamanya oleh penulisnya. 

Kononnya, permulaan bahasa bertulis Cina ini banyak sekali. Ahli-ahli bahasa Cina berpendapat bahawa orang-orang Cina mula menulis semenjak Zaman Kebudayaan Batu Pertengahan lagi. Sudah pastilah bahasa betulis ketika itu tidak berbentuk seperti zaman sekarang. Khabarnya, pada zaman purba dulu, orang Cina menggunakan tali yang disimpul-simpul sebagai catatan bagi kejadian-kejadian yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Untuk hal-hal penting, tali simpulannya besar-besar sedangkan untuk hal yang kurang penting tali simpulannya kecil-kecil. Tujuannya supaya mereka ingat akan peristiwa tersebut dan tidak terlupa. 

Dari cara simpulan tersebut, mereka berubah ke cara yang lebih sempurna sedikit. Mereka melukis gambar-gambar pula untuk membuat catitan. Melalui lukisan tersebut maka mereka dapat berbicara dari hati ke hati. Mereka pun boleh berhubung dengan satu sama lain.

Sehingga kira-kira 3000 SM sahaja, seorang lelaki bernama Ch'an Ch'ieh mula mencipta bahasa berbentuk tulisan. Namun, menurut pendapat sarjana Cina, ketika zaman dinasti Shang barulah orang Cina beroleh tulisan yang rasmi. Sejarawan bertemu dengan tulang-tulang dan prasasti yang berlakar dengan gambar-gambar. Dari situ, ia disalin menjadi sebuah buku. Bahasa bertulis tersebut dinamai sebagai 甲骨文 Jia Ku Wen. Maksudnya tulisan dilakarkan atas tulang belulang. Ia ditemui oleh ahli purbakala China pada tahun 1899 di daerah Anyang di wilayah Hunan. Pada zaman dinasti Qin, maharaja Qin Shi Huang menyatukan negara dan juga bahasa bertulisan demi tujuan politik mereka. Semenjak itu, tulisan untuk bahasa Cina pun ditetapkan dan tidak berubah banyak sehingga ke hari ini.

Semasa dinasti Han (206 SM-1 M), bahasa bertulisan Cina sudah tidak berbentuk gambar-gambar lagi. Malahan ia sudah menjadi sejenis bahasa bertulis yang pelik dan tidak terdapat dalam bangsa-bangsa lain di dunia. Ketika dinasti Tang pula (618-906 M), bahasa bertulisan Cina sudah menjadi lebih teratur dan bersistem. Ia sudah pun lengkap dan boleh digunakan dengan sempurna dalam penulisan masyarakat China.

Begitulah cara bahasa bertulis Cina ini berkembang dari zaman ke zaman. Mula-mula ia berbentuk gambar dan kemudian diringkaskan serta ditambah calit-calit maka ia menjadi seperti bahasa bertulis kini. Sarjana-sarjana bahasa Cina cuba juga mencetuskan bentuk tulisan lain yang lebih mudah seperti menggunakan huruf rumi atau lain-lain namun ia tidak berjaya mengatasi tulisan bahasa Cina yang begini.